MainArticle
 
Utara: Jambatan kedua tetap diteruskan
Berita Harian ( Edisi Wilayah: Utara ) 21-1-2008 (Isnin)

GEORGETOWN: Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM2.7 bilion tetap akan diteruskan walaupun kerja pembinaannya dikatakan mengganggu kehidupan nelayan di situ.

Ketua Menterinya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata beberapa masalah dibangkitkan penduduk setempat ketika proses pembinaan dijalankan, termasuk pencemaran alam sekitar dan ancaman terhadap hidupan laut sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

"Kita akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu supaya tidak ada pihak yang rugi. Tetapi, kita tidak akan memberhentikan pembinaan projek ini.

"Saya akan memperlahankan proses pembinaan jambatan ini di samping mencari jalan penyelesaiannya tetapi tidak sesekali akan memberhentikannya," katanya selepas merasmikan Taman Dunia Baru di sini, semalam.

Taman Dunia baru, sebuah kawasan yang diberi nafas baru menempatkan pelbagai gerai makanan terbuka yang mempunyai sudut berhibur sambil pelanggan menikmati juadah.

Koh berkata, jambatan sepanjang 22.5 kilometer itu dijangka siap pada 2011 tetapi lewat beberapa bulan daripada tarikh yang sepatutnya untuk mengatasi masalah berkenaan.

Projek pembinaan jambatan kedua ini menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dan dan Batu Maung di bahagian pulau dibina oleh kontraktor, China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC).

Ia berikutan pemeteraian perjanjian pinjaman Malaysia berharga AS800 juta (RM2.7 bilion) daripada China Exim Bank bagi membiayai pembinaan jambatan itu.

Pembiayaan pada kadar tiga peratus untuk 20 tahun adalah paling rendah pernah ditawarkan republik itu, sekali gus membuktikan keakraban hubungan Kuala Lumpur-Beijing sejak 1970-an.

Koh berkata, apabila projek itu siap kelak, kawasan Batu Maung, Bayan Lepas akan menjadi sesak oleh kenderaan yang menggunakan jambatan kedua itu.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.