MainArticle
 
Pulau Pinang laksana eFas
Berita Harian ( Nasional ) [ Oleh: Fazli Abdullah ] 10-1-2008 (Khamis)

GEORGETOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan kaedah pemberitahuan status bayaran kepada pelanggan secara khidmat pesanan ringkas (SMS), faks dan e-mel (eFAS) bagi meningkatkan sistem penyampaian.

Menerusi eFAS yang beroperasi mulai semalam, pelanggan yang berurusan dengan kerajaan negeri seperti kontraktor dan pembekal, akan dimaklumkan terus sebaik pembayaran dilakukan.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata inisiatif Jabatan Kewangan Negeri itu akan menjimatkan masa, kos dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Dengan pelaksanaan sistem itu, proses penghantaran notis pemberitahuan dapat dipendekkan daripada empat jam kepada lima minit saja. Kakitangan kerajaan juga tidak perlu lagi mencetak, melipat dan mengepos notis itu.

Notis pemberitahuan bayaran yang dihantar melalui pos mengambil masa antara tiga hingga empat hari bekerja untuk sampai kepada penerima.

"Dengan eFAS, pelanggan tidak perlu datang untuk menyemak status pembayaran masing-masing dan Jabatan Kewangan juga tidak perlu menghantar surat pemberitahuan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan eFAS dan menyampaikan Amanat Tahun Baru 2008 di Dewan Tunku di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jamaludin Hasan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Supiah Md Yusof serta exco kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Koh turut menyampaikan surat pelantikan sebagai pegawai pengawal kepada 30 ketua jabatan yang akan mengawal dan menguruskan aktiviti kewangan jabatan masing-masing.

eFAS diperkenalkan sebagai susulan daripada pelaksanaan Sistem Perakaunan Kerajaan Negeri Standard (SPEKS) pada Januari 2004 dan bayaran bil secara elektronik pada Januari 2006.

Jabatan Kewangan Negeri membelanjakan kira-kira RM85,000 bagi membangunkan sistem berkenaan.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.