MainArticle
 
Pulau Pinang ‘kawasan panas’ bukan baru
Utusan Malaysia (Politik) 24-12-2007 (Isnin)

PULAU PINANG 23 Dis. – Kedudukan Pulau Pinang sebagai antara tiga negeri yang dilabel sebagai 'kawasan panas' dalam pilihan raya umum akan datang bukan perkara baru, kata Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Malah, menurutnya, keadaan yang disifatkan sebagai mencabar itu pada setiap kali pilihan raya umum memang telah wujud sejak tahun 80-an.

"Ini bukan perkara baru kerana sejak Tanjung 1986, 1990, 1995 dan 1999 Pulau Pinang sentiasa berhadapan dengan pelbagai isu yang mencabar dan negeri ini tetap menjadi 'kawasan panas'.

"Oleh sebab itu, kita memang sentiasa bersedia dan berhati-hati apabila menghadapi pilihan raya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa menang," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin mengenai tiga negeri yang dilabelkan sebagai 'kawasan panas' yang perlu diberi perhatian lebih oleh kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar China Press, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan dipetik sebagai berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu-isu yang wujud di tiga negeri terbabit dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mengambil kira pandangan Daim dan kerajaan akan memberi perhatian lebih terhadap ketiga-tiga negeri itu.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.