| Berita Harian (Edisi Wilayah: Utara) [oleh Fazli Abdullah] 11-12-2007 (Selasa)
Projek babitkan kos baik pulih sungai serta kawasan penjaja dalam usaha kembalikan pusat pelancongan tumpuan dunia
GEORGETOWN: Kerajaan memperuntukkan RM14 juta untuk melaksanakan projek bagi mengembalikan pusat peranginan Batu Feringgi dekat sini, sebagai lokasi pelancongan utama dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Teng Chang Yeow, berkata projek itu ialah menaik taraf jajaran pelancongan termasuk kawasan penjaja dengan kos sebanyak RM6 juta.
Projek kedua ialah memulihkan pantai Batu Feringgi berikutan lima sungai yang kotor - Sungai Batu Feringgi, Sungai Emas, Sungai Kelian, Sungai Satu dan Sungai Kechil - mengalir ke kawasan pantai itu, membabitkan peruntukan RM8 juta.
Projek menaik taraf jajaran pelancongan yang akan dibiayai Kementerian Pelancongan masih di peringkat perancangan.
Program memulihkan sungai ditanggung oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sudah pun bermula dan dijangka siap Oktober tahun depan. Projek ini dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Apabila kedua-dua projek itu siap, ia diharap dapat meningkatkan imej Batu Feringgi supaya terus kekal sebagai salah satu destinasi utama di peta pelancongan dunia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran projek pemulihan Pantai Batu Feringgi dan penyampaian hadiah pertandingan fotografi pesona pantai Malaysia di Batu Feringgi, kelmarin.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Keizrul Abdullah.
Mengulas lanjut projek pemulihan pantai Batu Feringgi, Keizrul berkata, di peringkat awal pihaknya menumpukan kepada pemulihan Sungai Batu Feringgi sepanjang empat kilometer.
Menerusi projek itu, JPS sudah mengenal pasti punca pencemaran sungai termasuk pelepasan air kumbahan dan pembuangan sampah oleh penduduk. Berikutan itu, tindakan diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.
"Projek memulihkan Sungai Batu Feringgi akan diperluaskan ke empat sungai sungai di situ pada masa depan bagi memulihkan kawasan pantai berkenaan," katanya.
Terdahulu, Koh dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Teng pada majlis itu, berkata kerajaan negeri yakin usaha mengembalikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan terkenal dapat dicapai menerusi projek pemulihan pantai.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua penduduk kawasan sekitar termasuk peniaga, pengusaha hotel dan pengunjung bersama-sama menjaga kebersihan pantai dan sungai.
"Jika kawasan sekitar tidak dijaga, ia akan mencemarkan pantai dan ini secara tidak langsung menjejaskan imej negeri ini," katanya. |