| Bernama (Am) 25-11-2007 (Ahad)
PULAU PINANG, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan kaji selidik untuk mengetahui masalah yang dihadapi penduduk yang tinggal di bangunan tinggi di negeri ini.
Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kaji selidik yang dijangka dimulakan tahun depan itu akan dapat membantu kerajaan negeri mengetahui dengan lebih mendalam dan cuba mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi penduduk di bangunan tinggi.
"Selain mengetahui masalah yang dihadapi penduduk, kami juga ingin mendapatkan maklum balas mengenai amalan baik yang boleh dipraktikkan oleh penduduk yang tinggal di kawasan perumahan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perumahan di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan meminta kerjasama kerajaan pusat dan beberapa pihak lain seperti Universiti Sains Malaysia untuk melaksanakan kaji selidik itu.
Koh berkata sejak 11 tahun lepas, sebanyak 981 projek perumahan melibatkan lebih 100,000 unit rumah di negeri ini telah diberi Hak Milik Strata.
"Projek perumahan semakin bertambah dan pelbagai masalah timbul melibatkan penduduk yang tinggal di bangunan tinggi dan kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka," katanya. |