MainArticle
 
Utara: Projek PGCC tetap diteruskan
Berita Harian (Edisi Wilayah: Utara) [oleh Faiza Zainudin] 22-11-2007 (Khamis)

GEORGETOWN: Projek Penang Global City Centre (PGCC) di Batu Gantung di sini, akan diteruskan walaupun konsep pelan pembangunan belum diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata PBT tidak akan menolak pelaksanaan projek itu kerana PGCC adalah projek berimpak tinggi dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Katanya, walaupun PGCC adalah projek swasta tetapi kerajaan tiada halangan asalkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak bimbang dengan pelaksanaan projek berkenaan kerana ia diteliti dalam pelbagai aspek oleh Kerajaan Pusat menerusi Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF).

"Bukan sesuatu yang luar biasa projek sebegini mendapat sokongan kerajaan negeri kerana konsep pelan yang terperinci masih diteliti majlis perbandaran berkenaan (Majlis Perbandaran Pulau Pinang).

"Ia mesti mematuhi perancangan, kesan kepada alam sekitar, kepadatan penduduk dan lalu lintas supaya tidak mendatangkan kesan (negatif) kepada rakyat setempat," katanya.

Koh berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2008 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sebelum itu, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) mencelah perbahasan yang disampaikan Quah Kooi Heong (BN-Kebun Bunga) dengan mempertikaikan projek berkenaan yang mendapat sokongan kerajaan negeri.

PGCC, projek mega yang bernilai kira-kira RM25 bilion, adalah antara teras inisiatif NCER. Projek itu akan dilaksanakan di tapak Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Koh (BN-Tanjung Bungah) berkata, kerajaan negeri menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan NCER yang secara tidak langsung memberi faedah kepada rakyat.

Selain PGCC, katanya, ada empat projek hartanah berimpak tinggi dalam kawasan NCER di Pulau Pinang termasuk pembangunan kawasan Jelutong, Tanjung Pinang di sini, Bandar Bertam (Kepala Batas) dan Bandar Cassia (Batu Kawan).

"PBT tidak akan tolak sama sekali (projek) tetapi akan menguruskan beberapa isu berkaitan terlebih dulu.

"Namun demikian, kita mempunyai prinsip tidak sewenang-wenangnya membenarkan pemaju swasta melaksanakannya tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan di peringkat Pusat dan kerajaan negeri," katanya.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.