MainArticle
 
Utara: Teng Chang Yeow: Jeti nelayan Pengkalan Weld tarikan pelancong
Berita Harian (Edisi Wilayah: Utara) 31-10-2007 (Rabu)

GEORGETOWN: Pulau Pinang bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan, apabila kawasan sekitar perkampungan jeti nelayan di Pengkalan Weld di sini, dijadikan laluan membawa pelancong bersiar menaiki bot.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Teng Chang Yeow, berkata cadangan mengenainya dalam pertimbangan dan dijangka boleh dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, cadangan masyarakat perkampungan itu dapat mempelbagai aktiviti pelancongan selain menambah pendapatan mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.

"Banyak tarikan yang ada di perkampungan nelayan ini dengan pelancong berpeluang mengenali cara hidup mereka dengan lebih dekat, selain membeli produk perikanan mereka.

"Aktiviti bersiar menaiki bot di sekitar jeti ini juga belum pernah diadakan sebelum ini, dan dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan dari pelancong asing mahu pun tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Deepavali kepada golongan kurang berkemampuan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Argyll di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, L Gandesan dan Pengerusi KRT Jalan Argyll, Syed Sultan Kader Mydin.

Kira-kira 30 golongan kurang berkemampuan menerima barangan keperluan harian seperti beras dan gula sebagai persediaan menghadapi hari kebesaran mereka tidak lama lagi.

Sementara itu, Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota, berkata pemantauan bot dan feri di seluruh daerah termasuk di kawasan pelancongan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan penumpang.

Beliau berkata, undang-undang berhubung penguatkuasaannya, iaitu Enakmen Lancang Air 2004 juga sudah digazetkan awal tahun ini, bagi memastikan operator melaksanakan aktiviti berkenaan mengikut peraturan.

"Sekiranya mereka (operator) tidak mempunyai lesen atau insuran, tindakan undang-undang akan diambil.

"Kami tidak mahu tragedi yang berlaku di Pulau Tioman, baru-baru ini, berulang kembali," katanya.

Teng berkata Jabatan Marin melaksanakan kerja pemantauan itu dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.