MainArticle
 
Pulau pinang pilihan warga asing beli rumah
Berita Harian (Edisi Wilayah: Utara) [oleh Faiza Zainudin] 24-9-2007 (Isnin)

Harga rendah dengan pelbagai kemudahan pikat penduduk dunia sertai Malaysia Rumah Keduaku

GEORGETOWN: Pulau Pinang terus menjadi pilihan warga asing untuk membeli rumah kerana faktor harga rendah yang ditawarkan di dalam sektor hartanahnya.

Faktor itu menyebabkan negeri ini menjadi pilihan warga asing untuk membeli rumah berbanding Kuala Lumpur dan negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata ia ditambah dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap dan moden terutama kemudahan pengangkutan seperti lapangan terbang, pusat beli-belah dan destinasi pelancongan terkenal.

Katanya, sejak program Malaysia Rumah Keduaku dilancarkan, lebih 3,000 hartanah khususnya rumah dibeli warga asing dari seluruh dunia termasuk Jepun, Korea, Taiwan, Britain dan Amerika Syarikat.

"Apabila projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) siap, ia akan menyediakan lebih banyak rumah bagi menampung permintaan.

"Oleh itu, orang ramai wajar merebut peluang untuk membeli hartanah apabila berpeluang memilikinya," katanya dalam ucapan perasmian pameran hartanah di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi pameran, Datuk Seri Kamal Hashim.

Sebanyak 101 syarikat mengambil bahagian dengan membuka 220 ruang pameran termasuk produk hartanah, perabot, hiasan dalaman, barangan elektrik, alatan keselamatan, komputer, landskap dan lampu.

Sementara itu, Kamal berkata, lebih 70 unit hartanah bernilai RM24 juta di bahagian pulau dilelong sepanjang pameran itu.

Katanya, pameran itu bukan saja mensasarkan pembeli dari golongan atasan dan warga asing, malahan golongan pertengahan.

"Mereka berpeluang menikmati pelbagai diskaun yang disediakan pemaju dan bank, selain daripada dapat memilih rumah terbaik pada harga berpatutan," katanya.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.