MainArticle
 
Korporat boleh bantu persatuan negeri
Berita Harian ( Sukan ) [ Oleh Mohd Anwar Patho Rohman ] 22-8-2007 (Rabu)

PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat korporat terkemuka negara yang mencatat keuntungan, menaja setiap persatuan bola sepak negeri bagi membantu menghadapi masalah kewangan yang serius.

Ia bertambah buruk kerana ketiadaaan penaja yang benar-benar sanggup menaja persatuan bola sepak negeri.

"Kita perlu wujudkan satu sistem yang lebih teratur untuk sebuah syarikat korporat sama ada GLC atau swasta untuk menaja pasukan bola sepak setiap negeri dengan satu sistem yang telus dan adil untuk semua negeri.

"Ini supaya apa juga sumbangan dan derma yang diperolehi itu, kita boleh salur untuk melaksanakan program pembangunan bola sepak di peringkat remaja bagi meningkatkan mutu bola sepak negara dan negeri," kata Dr Koh pada mesyuarat agung FAP, malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAP, Datuk Mohd Zain Omar; Naib Presiden, Laurence Loh Kwong Yu dan Datuk Abdul Ghani Ali Kadir; Setiausaha, Datuk Junid serta Bendahari Kehormat, Datuk Ong Gim Huat.

Dr Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, melalui cadangan itu FAM dan setiap persatuan bola sepak negeri tidak lagi bergantung kepada satu syarikat untuk menaja mereka.

"Tanggugnjawab ini boleh diagih kepada syarikat korporat lain supaya ia lebih adil dan telus," katanya yang mengakui terpaksa menebalkan muka memohon penajaan daripada syarikat multinasional dan GLC yang berpejabat di Pulau Pinang.

Beliau turut mengumumkan jumlah kutipan tiket yang diperoleh FAP sepanjang Liga-M musim lalu hanya RM200,000 berbanding RM500,000 tahun lalu.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Pulau Pinang melantik Mohamad Bakar dan Moey Yok Ham untuk membimbing skuad negeri itu mengharungi Liga M musim depan, bagi menggantikan Josef Herel yang kontraknya tamat pada Oktober ini.

 
[ Article Archive ]
 
Welcome to Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Pulau Pinang)
Parti Gerakan Pulau Pinang
Copyright © 2005 - 2008. All Rights Reserved.