| Berita Harian ( Edisi Utara ) 16-8-2007 (Khamis)
GEORGETOWN: Pulau Pinang sedang mengkaji untuk menyediakan laluan bas di kawasan bandar dan memansuhkan tempat letak kenderaan di tepi jalan bagi mengelak kenderaan awam tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata ketiadaan laluan khas mengganggu perjalanan bas sehingga mengakibatkan penumpang terlewat ke destinasi masing-masing.
Katanya, sejak RapidPenang beroperasi pada 31 Julai lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada penumpang mengenai kelewatan bas, antara lain berpunca daripada kesesakan lalu lintas.
"Bagi mengatasinya, kami sedang mengkaji untuk menyediakan lorong khas untuk bas dengan memansuhkan tempat letak kenderaan yang mengganggu perjalanan bas terutama di pusat bandar," katanya di sini, kelmarin.
RapidPenang, sistem pengangkutan bas awam yang ditunggu-tunggu oleh warga Pulau Mutiara, dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 31 Julai lalu.
Teng berkata, selain cadangan itu, pihaknya juga sedang mengkaji untuk menggunakan sistem tiket bulanan untuk memberi keselesaan kepada penumpang.
RapidPenang juga akan menambah 100 bas pada akhir tahun ini sebagai tambahan kepada 150 bas yang beroperasi sekarang, sekali gus membolehkan perkhidmatan diperluaskan ke kawasan luar bandar.
Katanya, semua usaha berkenaan adalah tindakan yang akan dilakukan bagi memperbaiki perkhidmatan bas RapidPenang.
"Perkhidmatan bas RapidPenang akan diperkemaskan dalam jangka masa empat bulan ini bagi menjadikan ia pengangkutan awam utama di negeri ini," katanya.
Mengenai operasi RapidPenang sejak diperkenalkan dua minggu lalu, Teng berkata, ia mencapai tahap perkhidmatan yang ditetapkan dengan 80 peratus mengikut jadual perjalanan.
"Namun begitu, kami dalam proses mengkaji pelbagai aspek bagi mengurangkan masa menunggu penumpang supaya kurang daripada 30 minit," katanya. |